Amaran: artikel ini penuh dengan unsur sinikal dan ironi, sekiranya anda tidak dapat menerima hakikat, anda dinasihatkan tidak membacanya.
Ayah saya pernah ditanya, mengapa tidak mahu melanggan Astro? Ayah saya menjawab, ‘Channel yang ada ini pun korang tak bergerak’. Jawapan yang mudah, ringkas dan padat. Siaran yang sedia ada menyebabkan ramai daripada adik-beradik saya tidak mahu meninggalkan peti televisyen barang sekejap, apalagi untuk mengalihkan pandangan. Ketika itu saya masih di bangku sekolah, sudah ada lebih daripada lima siaran televisyen, kini dengan Astro, lima siaran televisyen ini menjadi singgahan semata-mata kerana banyaknya pilihan yang lebih menarik yang lain.
Begitulah betapa banyaknya lambakan pilihan siaran hiburan kita hari ini. Meski kita masih belum mencapai taraf negara maju seperti negara-negara G7, namun siaran televisyen kita mungkin sudah setaraf dengan mereka, atau lebih lagi. Namun saya secara jujurnya boleh mengira berapa banyak daripada siaran ini tadi memberi manfaat. Andaikata ada yang ingin berdebat dengan saya tentang isu ini, saya sanggup membuat statistik siaran yang bermanfaat dengan tidak.
Hiburan yang kita ada hari ini tidak dapat lari daripada khayalan dan keseronokan kehidupan dunia yang fana. Saya rasa tak ramai pun yang faham apa maksud ‘fana’ ni, ramai yang menggunakannya semata-mata kerana bunyinya sedap dan sebab orang lain banyak guna. Tengoklah drama-drama Melayu kita, berapa banyak yang sebenarnya memberi manfaat, dan yang terus membuaikan kita? Dan daripada yang memberi manfaat ini pula, berapa banyak daripada pengisiannya bermanfaat? Sekalipun drama tersebut ada tema kekeluargaan, pasti ada terselit tema-tema maksiat, sosialisasi melampau, dan seumpamanya. Kepada yang akan bertanya kenapa saya perlu kecoh-kecoh, saya bertanyakan semula, apakah itu norma kehidupan masyarakat Melayu? Apakah kita sudah hilang identiti sehinggakan kita perlu mencelup drama ala barat dalam drama kita sehinggakan kita tidak mampu membezakan yang mana satu identiti Melayu dan yang mana satu identiti yang dicelup.
saya tidak menafikan bahawa media/hiburan adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat. Alasan yang diberi ialah, kita menceritakan realiti masyarakat hari ini. Soalannya, dari mana datangnya realiti ini? Siapa yang membawanya? Kalau hari-hari drama kita asyik menceritakan tentang gadis Melayu yang terlibat dalam percintaan, cinta tiga segi, pisau cukur, seksi, dan sebagainya, adakah masyarakat tidak akan meniru? Lihatlah apabila seorang artis mula bertudung, gempar satu Malaysia dia bertudung, terus tudung tersebut dinamakan sempena namanya, dan ‘bergelimpangan’lah jasad-jasad yang memakai tudung ala artis tersebut. Tipikal bukan?
Apabila Amerika muncul dengan rancangan realiti American Idol, kita juga hendak ada Malaysian Idol, bukan satu sebutlah berapa banyak lagi yang telah kita berkiblatkan barat. Apa motif syarikat penyiaran di sebalik rancangan-rancangan seperti ini? UNTUNG! Ya, untung semata-mata. Adakah mereka menginginkan yang terbaik untuk manfaat masyarakat? TIDAK! Konsep siaran televisyen, kalau ingin cepat untung dan maju, ialah; up-to-date dengan jenis hiburan dan siarkan apa yang orang ramai suka. Dalam erti kata yang lebih mudah, siarkan atau paparkan rancangan yang pasti membawa untung!
Dadah, bermula dengan cuba-cuba, bila dah suka, hendak lagi sampai ketagih. Begitulah dengan hiburan di Malaysia ini. Kalau dirasakan pasarannya belum ada, dicuba dahulu dengan satu siaran, apabila ‘rating’ meletup, berlambaklah hiburan jenis itu akan disiarkan pada siaran televisyen tersebut, sehinggakan syarikat televisyen lain yang dapat merasakan kehangatan sambutan drama-drama luar ini, turut meniru taktik yang sama untuk menaikkan ‘rating’. Kita menjadi terhegeh-hegeh dengan drama luar negara, sedangkan di luar negara tak banyak pun drama kita yang disiarkan.
Lihat juga corak-corak siaran drama/panggung wayang di Malaysia. Contoh, bermula dengan ‘Puntianak Harum Sundal Malam’, bermula siri dramanya. Kemudian, seorang produser lain pula mengikut jejak langkah yang sama, tetapi memberikan lebih ‘power’, seterusnya, drama-drama hantu mula membanjiri siaran-siaran televisyen kita. Kemudian, drama itu akan ada watak ustaz yang akan menyelamatkan seisi kampung, tipikal. Selepas hantu ini, hantu ini, kemudian hantu ini, mana tidaknya, Malaysiakan banyak hantu, tidak cukup dengan hantu syaitan, manusia hantu pun kita banyak.
Begitulah juga dengan corak cerita yang lain. Tidak ada yang mampu mencabar minda apabila menontonnya. Anak-anak pun terdidik takut dengan hantu, tambah-tambah disergah oleh ibu-bapa yang percaya bahawa hantu mampu mendisiplinkan anak-anaknya. Adakah itu sahaja yang Islam ini praktikal? Adakah untuk menghalau hantu sahaja Islam ini gah dan kuat? Padahal Islam itu Allah turun dan amanahkan kepada manusia supaya mereka mampu memimpin manusia lainnya, kemudian mentadbir alam ini. Betapa luasnya Islam ini dengan praktikalitinya, mengapa dengan hantu syaitan sahaja yang gah? Kenapa tidak dipaparkan Islam ini mampu mengubah sosialisasi melampau remaja kita?
Televisyen hari ini ialah pengganti terbaik ibu-bapa dan ia membawa manfaat yang besar buat mereka. Apabila si ibu ingin berbuat kerja lain dan tidak mahu diganggu sedang ana menginginkan perhatian, dia akan nyalakan televisyen dan berkata kepada anaknya, ‘ha, tengok tv tu diam-diam!’ iya, mudah betul untuk menjaga anak-anak sekarang, tak hairanlah kalau sikapnya tidak lari daripada apa yang dipapar di televisyen.
Apa yang saya ingin sampaikan ialah drama-drama ini mampu untuk kita gunakan bagi menyampai mesej-mesej Islam. Kisah seperti Qamar Bani Hasyim adalah contoh terbaik, subhanAllah, walaupun saya baharu sekali menonton, terasa manfaatnya yang besar. Juga satu rancangan realiti di timur tengah, yang pernah membawa satu tajuk ‘Lau Kana Bainana’ yang bermaksud ‘Kalau Rasulullah bersama-sama dengan Kita’. Rasulullah riwayatkan bahawasanya sesiapa yang memulakan kebaikan dan orang lain mengikutnya, dia akan mendapat pahala sama seperti orang yang mengikutnya, tanpa dikurangkan sedikitpun, begitu juga sebaliknya. TANPA DIKURANGKAN SEDIKITPUN.
Kita tidak perlu meniru masyarakat barat yang mereka sendiri tidak punya identiti yang asli, sedang kita perlu bangga, bahawa masyarakat Melayu kaya dengan adat dan identitinya. Apalagi bila kita ini masyarakat yang bertunjangkan aqidah Islamiyah. Gunakan kreativiti kita untuk manfaat masyarakat yang lebih besar, yakni membawa masyarakat kembali kepada Islam sebenar.
sumber : klik sini
peringatan buat diriku yang lupa
0 comments:
Post a Comment