;

SIASAH SYAR’IYYAH : Satu Pengenalan

Persoalan Siasah Syar’iyyah atau lebih dikenali dengan nama sistem politik Islam masih menjadi tanda tanya dan kesamaran dikalangan masyarakat hari ini.Ini kerana pelbagai faktor penyebab yang menjadikan bidang ilmu ini menjadi tertutup atau terhad. Antaranya ia merupakan bidang ilmu yang baru di kalangan ulama’ Syariah dalam erti kata penggunaan istilah "Siasah Syar’iyyah" walaupun isi kandungannya telah mula wujud seiring dengan kedatangan Islam di muka bumi.

Selain daripada faktor di atas, masalah ilmu ini juga hanya diperbincangkan atau dikemukakan dalam kuliah-kuliah akademik di universiti-universiti atau perbincangan terbatas di kalangan intelektual dalam bidang ini sahaja. Hal ini menyebabkan ilmu atau isu ini menjadi semakin sempit dalam lingkungan yang terhad sebagai teori-teori warisan Islam yang hanya dibukukan tanpa sebarang bentuk perlaksanaan.

Rentetan daripada itu, penulis cuba mengajak semua pembaca ruangan ini untuk berkongsi maklumat dan buah fikiran tentang tajuk yang dikemukakan dengan lebih dekat lagi bagi mendapatkan maklumat awal tentang perkara ini berdasarkan pandangan Islam.

Sebelum kajian dilalui dengan lebih jauh lagi, beberapa persoalan perlu ditujukan untuk difikirkan bersama, antaranya :-


1. Adakah di dalam Islam satu sistem yang dinamakan sistem politik?

2. Bagaimanakah bentuk Sistem Politik dalam Islam ?

3. Adakah layak Sistem Politik Islam dilaksanakan pada zaman sekarang sebagai ganti kepada sistem yang ada yang tidak mampu menyelesaikan masalah umat sejagat dan tidak menegakkan keadilan bersama?


Inilah diantara persoalan yang ingin kita bincangkan dan difikirkan bersama melalui siri pengenalan ini atau di siri-siri akan datang. Sebagai permulaan kepada persoalan di atas ialah Islam merupakan agama yang lengkap kerana ianya berasaskan ketuhanan (Rabbani) yang datang daripada Allah S.W.T yang bersifat dengan segala kesempurnaan dan tidak bersifat dengan kekurangan. Inilah yang dikatakan Islam salah satu agama samawi yang datangnya daripada Allah Ta’ala yang merangkumi dua kandungan yang penting didalamnya iaitu Aqidah (asas-asas keimanan) dan Syariat (peraturan-peraturan atau hukum-hukum). Oleh kerana itu, Islam yang disifatkan sedemikian rupa sesuai dilaksanakan di setiap tempat dan masa. Maka dakwaan terhadap ketiadaan Sistem politik Islam merupakan dakwaan yang salah dan tidak berasas kerana membuat tuduhan bahawa Islam agama yang tidak sempurna. Ini bertentangan dengan firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud :

" Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu,dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu,dan telah KuRedhai Islam itu menjadi agama bagimu" ( Al-Maidah : 3 ).


Pengertian SIASAH SYAR’IYYAH

Siasah Syar’iyyah merupakan perkataan Arab yang terdiri daripada dua perkataan iaitu Siasah dan Syar’iyyah yang mana perkataan kedua merupakan sifat kepada yang pertama. Dari segi bahasa, Siasah merupakan kata asal (masdar) bagi perbuatan "saasa" yang membawa maksud : mengepalai atau mengetuai sesebuah masyarakat. Manakala Syar’iyyah merupakan perkataan yang dikembalikan (dinisbahkan) kepada Syara’ yang bermakna jalan dari segi bahasa. Akan tetapi perkataan ini lebih tertumpu kepada segala apa yang disyariatkan oleh Allah Ta’ala melalui Rasul-rasulnya seperti aqidah, akhlak dan hukum-hakam dalam kehidupan.

Seperti yang dikatakan di permulaan tadi , istilah Siyasah Syar’iyyah merupakan antara istilah yang baru di kalangan ‘ulama. Oleh yang demikian, terdapat pelbagai takrif tentang perkataan ini namun semuanya itu menuju kearah maksud yang sama iaitu suatu perbincangan ilmu atau sistem yang menekankan soal pentadbiran serta pengurusan sesebuah negara berlandaskan atau mengikut segala apa yang telah disyariatkan oleh Allah Ta'ala dan rasulNya.

Antara kata-kata ulama’ dalam menjelaskan maksud Siyasah Syar’iyyah sepertimana yang ditulis oleh Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah dalam bukunya yang berjudul "At-Turuk Al-Hukmiyyah fi As-Siasah Asy-Syar’iyyah" termasuklah kata-kata Imam Asy-Syafie’ yang menyebut bahawa : "Tiada politik (siasah) melainkan yang berlandaskan Syara’". Selain itu,berkata juga Ibn-Uqoil (salah seorang ulama’ dalam mazhab Hanbali) : "Politik dalam Islam tertumpu kepada semua perbuatan yang mana ianya menyebabkan manusia lebih dekat kepada kebaikan atau maslahah dan menjauhkan mereka daripada kebinasaan, walaupun ianya tidak diletakkan oleh Nabi atau tidak diturunkan padanya wahyu (tidak termaktub di dalam nas)".

Melalui cebisan kata-kata ulama’ tadi, dapat disimpulkan bahawa kewujudan Sistem Politik Islam bermatlamatkan kepada menegakkan keadilan di muka bumi dengan asas "kemaslahatan" atau "menjauhkan keburukan dan mendatangkan kebaikan". Perbincangan ini jugalah yang disebut oleh Imam Ibn-Qayyim Al-Jauziyyah tentang pembahagian secara umum dalam Siasah iaitu dengan mengatakan bahawa Siasah (politik) terbahagi kepada dua; pertama: Siasah yang berasaskan keadilan yang merupakan sebahagian daripada Syariat Islam dan yang kedua merupakan Siasah yang berasaskan kezaliman yang perlu dijauhkan serta diharamkan oleh syara’ keatasnya.

Demikian tadi beberapa isi penting dalam pengertian Siasah Syar’iyyah. Walaupun ianya merupakan suatu istilah yang baru, namun kewujudan isi kandungannya telah lama bertapak di muka bumi semenjak lahirnya Islam. Hal ini dapat dilihat melalui pengutusan Nabi Muhammad sebagai Rasul yang terakhir di kalangan utusan-utusan Allah yang mana diperintahkan sebagai nabi, ketua negara dan pemimpin umat dengan tertegaknya negara Islam yang pertama di Madinah. Kemunculan negara Islam pertama ini menunjukkan secara logiknya perlu kepada satu sistem yang unik berlandaskan Syariat dalam pentadbiran negara Islam. Maka dengan bukti sejarah tamadun Islam ini menunjukkan Islam tidak pernah melupakan sebarang aspek kehidupan bahkan ianya menyeluruh (syumul) dan saling melengkapi antara satu dengan yang lain (mutakamil).

Namun demikian , musuh-musuh Islam masih mencari jalan untuk membuat tohmahan ke atas Islam dengan mengatakan ketidaksuaian perlaksanaan sistem politik Islam kerana ianya hanya terhad kepada zaman nabi sahaja. Atau ianya ketinggalan zaman hingga menyebabkan jatuhnya Kerajaan Khilafah Uthmaniyyah. Akan tetapi kita sebagai umat Islam yang yakin dengan Islam perlu bersedia dengan mempunyai jawapan-jawapan yang bernas untuk bersedia membidas sebarang tohmahan dan dakwaan yang boleh menjatuhkan Islam. Antara jawapan tersebut ialah tiada perlaksanaan Islam bukan bererti ketidaksuaian Islam sebagai sistem politik, akan tetapi kecuaian umat Islam itu sendiri yang tidak mahu menghayati keindahan Islam dan tewas dengan dakwaan-dakwaan musuh terhadap agamanya sendiri. Selain itu, urusan-urusan pentadbiran atau amanah secara amnya diletakkan kepada bukan ahlinya yang menyebabkan ianya terbengkalai dan tidak dilaksanakan.

peringatan buat diriku yang lupa

0 comments: